Monday 17 December 2012


Teori-teori Pembelajaran

   Pembelajaran merupakan satu proses dimana berlakunya suatu perkembangan pengetahuan, kemahiran atau sikap semasa sesorang individu berinteraksi dengan maklumat dan persekitaran. Guru berperanan penting dalam memberi galakkan serta membimbing pelajar untuk mengalami proses pembelajaran melalui proses pengajaran yang berkesan. Guru harus bijak mengaplikasikan pelbagai medium bagi memastikan pembelajaran berlaku. Perubahan zaman yang dialami tanpa disedari telah membawa kita ke gaya pembelajaran abad ke-21. Oleh yang demikian guru harus bijak mengintegrasi teknologi dan media ke dalam proses pengajaran yang menepati selera pelajar abad ke-21 ini. Namun begitu, peranan guru dalam mengaplikasikan teknologi dan media dalam bilik darjah adalah bergantung kepada  kepercayaan guru tersebut tentang bagaimana berlakunya proses pembelajaran. Sejak lebih kurang setengah kurun yang lalu, telah wujudnya pelbagai teori pembelajaran yang menguasai. Setiap teori mempunyai implikasi terhadap arahan secara umum dan sejurus itu menetapkan penggunaan teknologi dan media yang tertentu bersesuaian dengan teori itu sendiri. Evolusi teori pembelajaran ini banyak memberi kesan dalam stail pengajaran yang dilakukan oleh guru. Terdapat lima fasa dalam evolusi perkembangan teori pembelajaran seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

1. Teori Pembelajaran Behavioris

          Teori behavioris merupakan teori pembelajaran yang terawal yang diperkenalkan. Teori yang mula dipelopori oleh Ivan Petrovich Pavlov ini memberikan fokus kepada perubahan tingkahlaku yang boleh dilihat, dinilai dan boleh dimanipulasikan.  Secara asasnya, teori ini menerangkan bahawa tingkah laku seseorang adalah disebabkan dan dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia berdasarkan prinsip bahawa ransangan dari persekitaran membawa kepada berlakunya tindak balas pada tingkah laku. Teori ini juga menyarankan bahawa pembelajaran berlaku apabila tindakan secara ulang dilakukan sehingga ianya menyadi kebiasaan. Tingkah laku yang berulang pula akan dapat dikekalkan dengan proses peneguhan.
          Beberapa ahli pakar teori behavioris yang telah mengemukakan beberapa konsep penting dalam teori ini adalah seperti Ivan P. Pavlov (1849-1936) dan B. F. Skinner (1904-1990). Setiap konsep dalam teori pembelajaran yang telah dipelopori oleh tokoh-tokoh ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci.

1.1        Teori Pelaziman Klasikal Pavlov

Teori pelaziman klasik ini menerangkan bagaimana seseorang individu belajar dan menguasai tingkah laku. Pavlov telah mengkaji tindak balas automatik yang berlaku hasil daripada sesuatu ransangan daripada persekitaran. Menurutnya, tindak balas automatik boleh diubah dengan manipulasi ransangan. Proses pembelajaran ini dikenali sebagai pelaziman. Beliau telah mengkaji teori ini dengan menggunakan kajian terhadap anjing. Model pelaziman klasik Pavlov berlaku melalui tiga peringkat, iaitu sebelum pelaziman, semasa pelaziman dan selepas pelaziman.

      i.            Peringkat sebelum pelaziman
·               Peringkat yang merujuk kepada satu keadaan semulajadi.
·               Dalam eksperimen Pavlov, beliau menggunakan anjing, makanan dan loceng.
·               Apabila anjing ditunjuk makanan (ransangan), air liur akan meleleh daripada mulut anjing (gerak balas terlazim). Apabila Pavlov membunyikan loceng pada peringkat ini (satu lagi ransangan), ia tidak membawa sebarang gerak balas (gerak balas tak terlazim, tiada respon) daripada anjing.

     ii.            Peringkat semasa pelaziman
·              Pavlov menukar keadaan semulajadi tindakbalas anjing terhadap ransangan dengan membunyikan loceng sebelum makanan dihidangkan.
·         Perbuatan ini dilakukan bebeapa kali sehingga anjing belajar untuk mengaitkan bunyi loceng dengan makanan (ransangan terlazim).

    iii.            Peringkat selepas pelaziman
·     Anjing memperoleh satu siri tingkah laku yang baru iaitu tindakan loceng dan pemberian makanan serentak diulangi beberapa kali oleh Pavlov. Anjing telah belajar bahawa bunyi loceng berkait rapat dengan makanan.
·               Seterusnya, air liur anjing akan mengalir (gerak balas terlazim) apabila mendengar bunyi loceng (ransangan terlazim) walaupun Pavlov tidak mengeluarkan sebarang makanan.

Ekperimen Pavlov ini menunjukkan setiap ransangan menimbulkan gerak balas daripada seorang individu. Begitu juga apabila diaplikasikan kepada manusia, manusia akan respon apabila sesuatu ransangan yang menarik ditunjukkan atau diulangi.

Teori Pelaziman Operan Skinner

      B. F. Skinner (1904-1990) telah meluaskan kajian pelaziman dan memperkenalkan istilah ‘operan’ dalam bidang psikologi yang bermaksud ‘bertindak ke atas’. Skinner telah menjalankan beberapa eksperimen dengan haiwan-haiwan seperti tikus dan burung merpati dan ini telah membantu beliau membuat generalisasi mengenai tingkah laku manusia yang menjadi asas kepada teori pelaziman operan.
          Dalam eksperimen menggunakan tikus, beliau telah menghasilkan sebuah kotak yang dikenali sebagai ‘Skinner’s Box’ yang digunakan untuk merekod pemerhatian tingkah laku. Seekor tikus lapar diletak ke dalam ‘Kotak Skinner’. Kotak ini dilengkapi dengan alat penekan pada dindingnya. Apabila alat ini ditekan, biji-biji makanan akan terkeluar. Pada mulanya, tikus berlari ke sana sini kerana lapar. Kemudian secara tidak sengaja, tikus terpijak alat penekan tersebut dan ini menyebabkan biji-biji makanan terkeluar. Proses yang sama diulangi beberapa kali sehingga tikus itu mendapati bahawa dengan memijak alat penekan, ia akan memperolehi makanan. Ini menunjukkan tikus telah mempelajari tingkah laku yang betul untuk mendapat makanan.
          Dengan itu, Skinner membuat kesimpulan bahawa perubahan pada perlakua individu adalah hasil daripada tindak balas kepada ransangan-ransangan daripada persekitarannya. Teori pelaziman operan merujuk kepada sesuatu organisma yang beroperasi dalam persekitarannya dengan pilihan untuk bertindak balas kepada ransangan. Berbeza dengan teori pelaziman klasik, dalam teori pelaziman operan, organisma boleh menentukan ransangan yang dikehendaki. Jika tindakannya akan membawa ganjaran yang memuaskan, organisama akan melakukan tindakan tersebut lagi. Sebaliknya, jika gerak balas akan membawa kesakitan, organisma tidak akan mengulanginya.

Kesimpulan teori behavioris

     Ahli behavioris menolak spekulasi tentang apa yang berlaku secara dalaman apabila pembelajaran berlaku. Pembelajaran hanya bergantung kepada tingkah laku yang boleh dilihat. Maka, teori hanya akan lebih mudah diaplikasikan untuk menerangkan tugasan yang ringkas dan mudah. Ini menyebabkan teori behaviorisme mempunyai aplikasi yang terhad dalam pengajaran kemahiran tahap tinggi. Ahli behavioris tidak bersetuju dengan pendapat pelajar memproses maklumat dalam pembelajaran mereka.

2. Teori Pembelajaran Kognitif

Pada pertengahan akhir abad ke-20, ahli kognitif telah mencipta teori berkenaan dengan proses bagaimana pelajar menerima, memproses dan memanipulatif maklumat. Ahli-ahli kognitif membawa pandangan baru dalam tahun 1960an untuk menggantikan teori behaviorisme yang menumpu kepada ransangan-ransangan luaran. Mereka mengaitkan aktiviti-aktiviti pembelajaran dengan proses-proses mental dalaman, iaitu fikiran, ingatam, pengetahuan dan penyelesaian masalah yang berlaku dalam pembentukan skema manusia. Kognitivisme yang telah wujud ini adalah berasaskan hasil kajian ahli psikologi Swiss, Jean Piaget yang meneroka tentang proses mental seseorang untuk memberi tindak balas terhadap persekitaran.
Teori-teori kognitif melibatkan kajian-kajian proses mental yang digunakan untuk memahami, mengetahui dan membina pengamatan. Proses-proses ini didorong oleh naluri ingin tahu individu. Ahli kognitivis berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam minda manusia. Oleh yang demikian, ahli-ahli oenyelidik tidak dapat memerhatikan secara langsung bagaimana pembelajaran berlaku dengan meramal daripada tingkah laku manusia. Proses dalaman yang dirujuk termasuk pemikiran, celik akal, pemprosesan maklumat, ingatan dan pengamatan.

Teori Pembelajaran Piaget

Teori Piaget berdasarkan fakta bahawa dari peringkat lahir, kanak-kanak menguasai kemahiran dan pengetahuan secara berperingkat bersama-sama dengan pertumbuhan fizikal. Kanak-kanak membina struktur pemikiran atau ‘peta mental’, skema dan konsep-konsep yang berkaitan untuk memahami alam persekitaran mereka. Piaget juga menegaskan bahawa struktur kognitif semakin lama menjadi lebih kompleks.
Empat konsep proses pembelajaran yang dikemukan oleh Piaget adalah:

  i. Skema

·         Merujuk kepada struktur mental yang digunakan oleh seorang kanak-kanak untuk menyusun maklumat dan pengalaman yang diperolehi daripada interaksi dengan persekitarannya.
·   Struktur mental berubah secara dinamik dan akan sentias menyesuaikan diri kepada perkembangan mental dan pembelajaran yang diterima.

 ii.  Asimilasi

·     Proses kognitif yang mengintegrasikan maklumat dan pengalaman baru dalam skema kognitif yang sedia ada.
·         Skema kognitif akan berkembang dengan meningkatnya pengalaman baru tetapi struktur asasnya tidak berubah.
·       Oleh itu,proses asimilasi cuba menempatkan konsep-konsep baru dengan bantuan skema kognitif yang tetap ada.

iii.  Akomodasi
·         Proses mengubah struktur skema yang sedia ada untuk menyesuaikan kefahaman dengan input atau konsep baru.
·    Akomodasi akan berlaku apabila skema kognitif tidak dapat mengasimilasikan input baru dari persekitaran dan terpaksa membuat perubahan dengan mengeluarkan pengetahuan lama yang dipelajari untuk mengakomodasi satu ilmu pengetahuan terkini.
·         Skema struktur kognitif individu sentiasa berubah dengan pengalaman seseorang semakin bertambah.

iv.  Adaptasi
·        Merupakan keadaan dimana struktur skema kognitif terus membuat perubahan sehingga mencapai satu tahap keseimbangan di antara asimilasi dan akomodasi dengan persekitaran.
·         Keadaan stabil berlaku apabila kanak-kanak dapat mengaplikasikan alat yang difahami atau dipelajari dalam persekitaran mereka.
·    Maka, skema sebagai struktur perkembangan kognitif berubah menerusi proses-proses asimilasi dan akomodasi sehingga struktur mental menjadi stabil.

Ahli kognitivis mempunyai persepsi yang lebih luas jika dibandingkan dengan ahli behavioris. Perubahan dari teori pembelajaran behavioris ke teori pembelajaran kognitif telah menjadikan pelajar kurang bergantung kepada panduan dari guru tetapi lebih menggunakan pemikiran mereka sendiri dalam menggunakan sumber-sumber pembelajaran yang ada.

3.   Teori Pembelajaran Kontruktivis

Teori pembelajaran konstruktivisme adalah berasaskan pandangan bahawa proses pembelajaran adalah aktif dan dinamik. Proses pembelajaran menurut teori ini adalah berkembang sedikit demi sedikit sepanjang hayat seorang individu. Segala bentuk pengalaman yang dilalui dalam kehidupan seharian seseorang individu merupakan himpunan kesemua pengalaman yang dialami oleh manusia. Dalam proses ini, seseorang individu akan membina ilmu pengetahuan dengan usaha sendiri dan bukan menguasainya daripada orang lain.
Ahli konstruktivis menyatakan bahawa apabila manusia berhadapan dengan sesuatu yang tidak diketahui, mereka akan berkeinginan untuk memahaminya. Naluri mereka akan mengaitkan maklumat baru dengan pengetahuan yang sedia ada supaya ia menjadi satu informasi yang bermakna (Jonassen, 1996; Jones et al. 1993). Menurut teori konstruktivisme, pengetahuan adalah produk minda yang dibina dengan pengalaman dan input baru yang diterima melalui deria-deria sebagai hasil persepsi.

Bagaimana mengaplikasikan teori kepada praktikal?

          Perkembangan teori-teori pembelajaran yang berubah hasil penemuan oleh para ahli psikologi dan ahli ilmuan sejak kurun ke-20 telah membawa kepada trend pembelajaran yang berubah selari dengan teori-teori ini. Hal ini demikian kerana teori-teori ini telah memberi landasan kepada guru untuk mengatur strategi mereka dalam menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Cara pengajaran yang berkesan bagi memastikan para pelajar mengalami proses pembelajaran dengan mudah.
Pada awal perkembangan teori pembelajaran iaitu teori behavioris, ahli-ahlinya menolak spekulasi tentang apa yang berlaku secara dalaman apabila pembelajaran berlaku. Mereka percaya bahawa pembelajaran hanya bergantung kepada tingkah laku yang boleh dilihat. Maka, teori hanya akan lebih mudah diaplikasikan untuk menerangkan tugasan yang ringkas dan mudah. Pada awal perkembangan teori behavioris, alat teknologi terawal yang digunakan dalam bilik darjah adalah seperti radio dan tayangan filem. Alat-alat teknologi seperti ini merupakan cara yang ringkas digunakan oleh guru untuk memindahkan maklumat dari satu tempat ke tempat yang lain. Teknologi pendidikan awal ini disokong oleh ahli-ahli objektivis dan epistimologi dalam bentuk pengajaran yang berasaskan kepada teori pembelajaran behaviorisme.
Pada zaman ini, pelajar dianggap sebagai botol kosong yang menunggu untuk diisi oleh guru dengan bantuan alat-alat teknologi yang ada pada masa itu. Berasaskan kepada teori pembelajaran behavioris, pembelajaran adalah berdasarkan kepada kadar penerimaan sesuatu ilmu pengetahuan dan penyiapan tugasan untuk menunjukkan bahawa mereka telah mempelajari sesuatu ilmu tersebut. Bruner (2004) menegaskan bahawa peneguhan positif dan negatif membimbing pelajar dalam proses pembelajaran. Penggunaan komputer dan internet pada asalnya menyokong teori pembelajaran ini dengan cara menggalakkan individu meneroka dan berlatih perisian dalam teknologi komputer ini. Ini menyebabkan teori behaviorisme mempunyai aplikasi yang terhad dalam pengajaran kemahiran tahap tinggi. Ahli behavioris tidak bersetuju dengan pendapat pelajar memproses maklumat dalam pembelajaran mereka.
Ahli kognitivis mempunyai persepsi yang lebih luas jika dibandingkan dengan ahli behavioris. Teori pembelajaran kognitif menerapkan idea-idea behaviorisme dan teori pemprosesan maklumat sehingga membentuk satu teori pembelajaran yang lebih besar. Menurut Wilson (2000), interaksi berasaskan komuniti merupakan komponen utama yang ditegaskan dalam teori pembelajaran kognitif ini. Perubahan dari teori pembelajaran behavioris ke teori pembelajaran kognitif telah menjadikan pelajar kurang bergantung kepada panduan dari guru tetapi lebih menggunakan pemikiran mereka sendiri dalam menggunakan sumber-sumber pembelajaran yang ada.
          Teori kognitif boleh diadaptasikan untuk membantu pembelajaran kepada pelajar pada abad ke-21 ini dengan pelbagai cara. Guru haruslah menyampaikan pengajarann dengan berstruktur dan teratur agar pelajar boleh menghubungkaitkan setiap tajuk pembelajaran dengan tajuk yang sebelumnya. Misalnya dalam penggunaan kemudahan teknologi dalam pembelajaran, guru boleh memberi penerangan tentang konsep dan teori yang hendak diajar. Kemudian, maklumat yang disampaikan oleh guru ini akan diterima oleh para pelajar. Untuk memastikan maklumat yang telah disampaikan diterima dan difahami oleh pelajar, guru harus melaksanakan aktiviti lanjutan seperti mencari gambar-gambar di internet. Pelajar juga boleh mengabungkan maklumat yang telah diajar oleh guru dengan maklumat yang dicari dan difikirkan oleh pelajar itu sendiri. Hasil kerja yang dilakukan oleh pelajar boleh dipaparkan di laman web dengan menggunakan aplikasi web 2.0. Cara ini bukan sahaja akan mengembangkan daya pemikiran pelajar malah mempercepatkan proses pembelajaran  berlaku.
          Sejajar dengan perkembangan internet dan telekomunikasi yang semakin pesat, maka guru pada abad ini mula beralih kepada pengajaran dengan menggunakan teori pembelajaran konstruktivis sebagai asas.  Perubahan idea yang melangkaui pemikiran ahli kognitivis, ahli konstruktivis mengutamakan penglibatan pelajar dalam pengalaman yang bermakna untuk proses pembelajaran berlaku. Beralih lebih jauh dari pemindahan maklumat secara pasif, teori konstruktivisme lebih mementingkan perpindahan maklumat secara aktif untuk menyelesaikan masalah serta meneroka benda baru. Ahli konstruktivisme turut menggalakkan pelajar mempunyai interpretasi mereka yang tersendiri terhadap maklumat yang diterima dari pelbagai sumber.
          Pada abad ke-21 ini, ‘video conference’ merupakan cara yang tidak asing lagi digunakan oleh individu yang berada di dua lokasi yang berbeza untuk bersemuka dan berkomunikasi dengan mudah. Komunikasi melalui ‘video conference’ merupakan satu contoh bagaimana komunikasi boleh digunakan untuk membina pemikiran dan kemahiran dalam projek maya (Waters, 2008). Satu contoh dalam menggunakan teknologi ini dalam pendidikan di sekolah ialah membina model bangunan dalam kelas. Reka bentuk ini ditunjukkan dan diterangkan kepada pelajar di sekolah lain melalui video conference supaya pelajar di sekolah tersebut boleh membina semula model bangunan tersebut. Pada akhir projek tersebut, kedua-dua sekolah tersebut berkomunikasi melalui ‘video conference’ untuk menilai dan membuat refleksi tentang aktiviti tersebut. Interaksi sebegini bersesuaian untuk jangka masa projek dan dapat menggalakkan guru dan pelajar dari dua sekolah yang berbeza berkongsi pendapat. Sistem video conferencing dan pengurusan pengajaran sebegini membenarkan interaksi yang mendalam berlaku antara individu-individu dari seluruh pelusuk dunia.